Tuesday, February 26, 2013

Sistem Demokrasi?



Perbincangan kita kali ini ialah tentang "Sistem memilih pemimpin yang berdemokrasi".

Selain daripada riba dan sistem kewangan yang telah mencengkam kita di dunia fana ini, sistem lain-lain juga telah begitu banyak mengkaburi minda dan mata kita sendiri. Contohnya sebuah sistem dipanggil demokrasi. Umum mengetahui bahawa demokrasi adalah amalan 'mulia' disebabkan ianya mengikut suara 'majoriti'.

Contoh ini begitu mudah apabila kita mengingati kembali waktu kecil-kecil dahulu. Kita pernah diminta guru kelas untuk memilih ketua darjah. Apabila majoriti memilih Ahmad menjadi ketua, maka budak yang bernama Ahmad itulah yang akan menjadi ketua. Soalan seterusnya, adakah Ahmad layak ataupun sedia untuk menjadi ketua?

Sistem ini diterapkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan untuk memastikan bahawa majoriti lah yang akan memilih ketua mereka. Sebenarnya kita silap! Matlamat pihak tertentu itu bukanlah untuk memastikan bahawa 'pihak majoriti' yang memilih pemimpin mereka. Sebenarnya, mereka hanya mahu kita 'yakin' kununnya kitalah yang memilih pemimpin kita.

Inilah dia yang dipanggil sebagai mitos sistem berpolitik cara demokrasi. Walaupun ianya sudah dilihat segar dan mulia di sisi umum majoriti warga dunia, namun ianya dimanipulasikan dengan propaganda yang boleh dibeli dengan natijah ataupun matlamat akhir yang berbentuk materialistik. Jika kita ambil contoh si Ketua Kelas yang bernama Ahmad tadi, apakah natijah akhir yang mahu digapai oleh majoriti ahli kelasnya yang lain?

Mari kita gambarkan Ahmad sebagai seorang yang ceria, mudah berkawan dan senang untuk dipergunakan. Salim pula merupakan rakannya yang kaya, bijak dan pandai mempergunakan Ahmad. Namun, Salim berkawan dengan kesemua ahli kelasnya dan pemalas pula. Salim melihat Ahmad sebagai seorang yang rajin dan suka berusaha. Malah, Ahmad sering dibantu Salim dalam segala serbi.

Jika Salim mencadangkan Ahmad sebagai Ketua Kelas, berapakah kemungkinan atau kebarangkalian Ahmad untuk menolak? Berapakah pula kemungkinan majoriti rakan sekelas lain untuk menerima cadangan tersebut?

Psikologi ini bermula apabila permainan demokrasi datang daripada persoalan, tentang benarkah Ahmad mampu untuk menjadi ketua? Jika dia tidak dipercayai, pasti akan ada susuk yang dipercayai yang boleh menggubah persepsi majoriti. Bagaimana jika guru yang mencadangkan? Adakah popular cadangan itu? Adakah sekadar buah cadangan kerana tiada opsyen lain?

Dalam demokrasi, manusia melihat dari sudut luaran dan apa yang boleh mereka perolehi berbanding dari sudut dalaman dan apa yang mereka boleh beri.

Inilah kelemahan demokrasi yang ingin dieksploitasikan oleh golongan elit dan kapitalis. Mereka sedar bahawa golongan elit seperti mereka tidak boleh menggubal undang-undang mahupun mengambil tanggungjawab terhadapnya. Malah mereka tidak kisah. Apa yang mereka mahu lakukan ialah mengawal, menguasai dan membeli. Kuasa itu hanya ada pada persepsi dan material. Ianya difungsikan oleh nafsu dan syahwat.

Maka, apabila kita mendengar seseorang pemimpin itu dipilih melalui konsep syura ataupun perbincangan oleh golongan ilmuwan, maka ianya haruslah dilihat dari sudut positif. Namun, jika pemilihan itu mengambil kira akan natijah material, maka walau bagaimana sekalipun konsep musyawarah digunakan, ianya tetap tidak akan menghasilkan sebuah kepimpinan yang baik.

Kita akan menyingkap semua konsep demokrasi, politik dan kuasa ini dari sudut sejarah dan ruang lingkup lebih luas nanti. Selamat mengkaji!

No comments:

Post a Comment