Thursday, January 1, 2015

Tahun 2015

Assalamualaikum wrt wbt,

Sebagai ummat Islam, kita harus bersyukur kerana diberikan oleh Allah s.w.t. peluang sekali lagi untuk menghirup udara yang segar dan diberi peluang untuk terus bertaubat kepadaNya. Selagi peluang ini diberikan, janganlah kita berputus asa dan lalai leka.

Semangat tahun baru 2015 menjadi sedikit lemah tatkala bencana menimpa ummat Islam secara amnya. Bencana ini bukanlah hanya sekadar ujian, namun ianya juga adalah suatu perkara yang harus dijadikan sebagai pedoman untuk kita menilai diri kita sendiri. Juga, untuk kita membantu sesama kita, yang berada di dalam kesusahan. Bencana banjir, kemarau, peperangan, kelaparan, ekonomi yang mundur dan sebagainya, merupakan ujian kepada kita yang beriman.

Prof. Hamka ada mengatakan bahawa perubahan itu bermula dari diri sendiri. Adalah bertepatan dengan apa yang diperkatakan oleh beliau, kita seharusnya memulakan perubahan dari diri sendiri. Perubahan itu perlu difokuskan terhadap perubahan kepada kebaikan akhirat, maka natijahnya kebaikan duniawi akan datang bergolek. Ianya sudah menjadi janji buat ummat Islam yang bersabar dan kembali kepada jalan yang benar, maka kejayaan di dunia dan akhirat bakal menanti mereka. Kejayaan bukanlah dari sudut material, tetapi dari sudut rohani iaitu kebahagiaan.

Tatkala kita dilanda musibah dan ujian, kebahagiaan tetap terpancar di wajah-wajah mereka yang bersabar dan beriman. Mereka tidak mengeluh atau merungut, apatahlagi menjerit-jerit kecewa dengan takdir yang menimpa. Malah, mereka bersikap sabar dan tenang menghadapi dugaan, yang dianggap sebagai hikmah besar buat mereka. Siapa tahu, ada di antara mereka yang mengharapkan rumah baru, akhirnya diperolehi setelah banjir menghapuskan rumah-rumah mereka? Ada yang mengharapkan bekalan makanan akibat kemiskinan, dan dikurniakan bantuan bekalan makanan yang boleh bertahan selama setahun kerana Rahmat Allah s.w.t. yang Maha Esa? Siapa tahu lumpur-lumpur sungai telah menghapuskan wabak dan penyakit yang telah lama wujud di parit-parit atau tanah tandus? Siapa tahu, bantuan kerajaan datang akhirnya kepada mereka yang telah lama menantikan bantuan-bantuan tersebut?

Kadangkala, setiap perkara itu ada rahmatnya, maka ucaplah Innalillahi wainna ilaihi raajiun dan Alhamdulillah.

Tahun 2015 bakal menjadi titik permulaan kepada kehidupan yang baharu. Ianya bakal menjadi platform kepada kebangkitan ummat yang telah ditimpa musibah demi musibah. Namun, kejayaan yang sebenar ialah ketika di akhirat kelak. Maka, beruntunglah mereka yang sabar.

Aku memohon permisi untuk menulis lagi jika diberi peluang. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan rahmat dan hidayah buat mereka yang membaca dan membantu kepada berbagai jenis perjuangan ke arah kebenaran. Sebarkanlah kebenaran, dan tentanglah kebatilan.

Waillaliqa. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment