Friday, January 2, 2015

Wahai Anak Muda

Sejak akhir-akhir ini kita banyak mendengar pelbagai isu yang berkaitan dengan penantian ummat Islam kepada suatu kemenangan. Pelbagai teori diunjurkan bagi memberikan suatu harapan akan datangnya sebuah kemenangan buat ummat Islam. Setelah kejatuhan empayar Uthmaniyyah di Turki, ummat Islam di seluruh dunia menjadi tertindas, ataupun dipimpin oleh para boneka yang dilantik oleh bekas penjajah ataupun masih dijajah lagi. Malah, keperwiraan dan kepimpinan anak-anak muda yang ingin menjatuhkan ideologi barat, telah digagalkan dengan pelbagai cara.

Aku ingin memberikan penjelasan tentang mengapa kita perlu merubah diri kita sendiri dahulu. Jika kita menyimpan impian untuk mencapai kemenangan, kita perlu mengubah diri kita sendiri dahulu. Kita tidak akan mampu berjuang dengan gigih dan yakin jika kita masih was-was dengan keimanan dan amalan kita sendiri. Datuk nenek kita dahulu terpaksa bergadai harta dan nyawa untuk menyelamatkan iman dan agama, namun kita sekarang mudah sahaja membiarkan diri kita hanyut dengan ideologi-ideologi barat seperti materialisme, kapitalisme dan liberalisme.

Persoalan yang utama ialah, apakah sudut utama yang harus difokuskan tentang berubah dari diri sendiri ini? Jawapan yang paling utama ialah, berubah menjadi lebih baik daripada dahulu. Hari esok harus menjadi lebih baik dari hari ini. Begitulah seterusnya.

Ini adalah suatu usaha yang terpenting. Aku juga sedang berusaha dengan gigih dalam perkara ini. Kita mesti bermula dengan mengubah perangai ataupun sikap kita setiap hari. Dalam banyak-banyak sikap, kita wajiblah memfokuskan kepada amalan-amalan wajib kita seperti solat, puasa, zakat dan haji. Selain itu, kita wajib sentiasa memperbaiki iman kita dengan senantiasa mengingati Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. Kita mestilah sentiasa menjaga iman kita dengan menyakini akan kesemua rukun iman itu, dengan mengamalnya setiap hari.

Jika sebelum ini engkau tidak pernah solat, mulakan dengan menjaga solat. Solat adalah tiang agama, dan wajib didirikan oleh kesemua manusia dan jin. Apatahlagi apabila engkau telah menerima Islam sebagai agama, maka lebih wajib bagi engkau untuk mendirikannya. Tidak dapat tidak, engkau wajib melaksanakan segala tuntutan sebagai hamba Allah s.w.t. dan bersolat lima waktu sehari semalam itu adalah yang terutama dan yang terpenting.

Kemudian, engkau juga ada tanggungjawab kepada ibu bapa, keluarga dan masyarakat. Setelah engkau berjaya mendekatkan diri dengan agama dan iman, maka mulalah engkau cuba mengajak ahli keluarga engkau supaya bersegera insaf dan kembali kepada jalan yang benar. Tiada lagi permainan di iPad mahupun Android. Tiada lagi masa untuk menonton bolasepak setiap hari. Masanya telah tiba untuk kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

Janganlah engkau bertanya, mengapa Islam tidak mendapat kemenangan? Mengapa kaum dan agamaku ditindas? Mengapa kami masih berada di takuk lama? Jangan bertanya, cukuplah dengan bermula dari diri sendiri.

Tinggalkan segala maksiat dari yang besar dosanya, hinggalah kepada yang sekecil-kecil dosa. Pohonlah keampunan dari Allah s.w.t. yang Maha Pengampun lagi Maha Pengasihani. Mintalah maaf kepada mereka yang pernah kita kasari atau melakukan dosa terhadapnya. Pohonlah keampunan dari ibu dan bapa, guru-guru, sahabat handai, orang tua-tua, saudara mara, dan sesiapa sahaja yang pernah kita lukai atau ingkari. Lunaskan hutang-hutangmu, jika mampu. Jika tidak, berazamlah engkau untuk melunaskannya suatu hari nanti.

Wahai anak-anak muda. Gunakan usia muda yang engkau miliki untuk mendapatkan segala ilmu yang mungkin, jika boleh biarlah berfokus kepada yang paling engkau minati dan berbakat. Jangan sesekali tinggalkan ilmu agama, walaupun sedikit demi sedikit, sehari demi sehari.

Akhir zaman telah mencapai tahap kematangannya. Jika tidak abad ini, mungkin abad yang terkemudian. Biarlah kita semua, jika diberikan peluang olehNya, berada di dalam saf jemaah yang betul dan diredhai oleh Allah s.w.t. Bukan berada di dalam golongan mereka yang lalai dan rugi. Dilekakan oleh bayangan duniawi seperti material dan juga cita-cita kehidupan yang fana.

Mari kita sama-sama berusaha, insyaAllah. Mulakan dari diri sendiri dahulu. Semoga kita akan berjaya meningkatkan keupayaan amal dan dakwah, sehingga mencapai keredhaan Allah s.w.t.

Wallahu'aklam.

1 comment: