Monday, January 5, 2015

Gagalnya Sistem Duniawi

Sistem. Apakah itu sistem? Sistem atau dalam bahasa inggeris, berbunyi 'system'. Dalam kamus bahasa inggeris, ianya didefinasikan sebagai berikut:
a set of principles or procedures according to which something is done; an organized scheme or method.
Maksudnya, sistem ini adalah suatu kelengkapan prinsip mengikut peraturan atau aturcara yang tersusun. Jika ianya suatu metod yang disusun, pastilah ada penyusunnya. Sebab itulah, sistem ini merupakan kelengkapan yang berbeda-beda mengikut aturcara yang disusun oleh pemilik sistem tersebut.

Namun, manusia secara amnya, tidak ramai yang bijak merekasaya sistem mereka sendiri. Lebih ramai yang mengikut daripada mencipta aturcara sistem yang tersendiri. Oleh yang demikian, jadilah majoriti manusia sebagai pengikut sesuatu sistem, berbanding mencipta sistem yang sendirian.

Jika sebahagian besar manusia tidak mampu untuk mencipta sistem mereka sendiri, dan hanya menuruti sistem yang direka oleh orang lain, maka adakah manusia itu memiliki kebolehan menyusun apa-apa pun jenis sistem yang mereka mahukan?

Kebolehan mencipta sesuatu sistem itu sebenarnya tiada di dalam genetik manusia. Apa yang manusia miliki hanyalah kebolehan untuk memahami sesuatu sistem dan menciplaknya, kemudian membaikpulih untuk menjadikan sesuatu sistem yang lebih digemarinya. Ini bukan bererti mereka berhak untuk menukar-nukar sistem mahupun memiliki kebolehan untuk mendapatkan sistem yang lebih baik.

Manusia secara lahiriah mereka adalah spesis yang memerlukan masa untuk mencapai tahap kematangan dan kesempurnaan. Namun, lazimnya, manusia tidak mempunyai masa yang panjang untuk hidup. Mereka terpaksa melepaskan tanggungjawab pembaik pulihan sesuatu rekaan mereka itu kepada generasi yang berikutnya. Malangnya, setiap manusia tidak memiliki keupayaan yang serupa ataupun lebih baik. Keupayaan manusia ini berbeda malah, tiada seorang pun yang boleh meyakini bahawa mereka pasti boleh membaik pulih sesuatu rekaan itu dalam jangka hayat mereka, walaupun diberikan masa sehingga 1 juta tahun sekalipun.

Buku bertajuk 'Fooled by Randomness' karya Naseem Nicholas Taleb telah merungkaikan bahawa manusia jarang sekali merujuk kepada kuasa 'luar biasa' di atas sana (kuasa Tuhan) yang pastinya berhak untuk membenarkan sesuatu sistem itu diciptakan mahupun digunapakai oleh manusia. Ini tidak semestinya membuktikan bahawa Tuhan redha akan penggunaan sesuatu sistem tersebut, kerana undang-undang syariat agama Islam telah pun dimaktubkan di dalam kitab Al Quran dan diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Sistem-sistem yang dicipta sendiri oleh manusia yang semakin berleluasa dan mencengkam hidup manusia di zaman sekarang (zaman moden atau akhir zaman) ini telahpun disalah ertikan oleh hampir keseluruhan manusia. Mereka menyangkakan bahawa sistem yang telah direka oleh mereka sendiri mampu menjadikan hidup mereka berjaya di dunia ini, walhal sebaliknya yang berlaku. Walaupun mereka sedang mencuba dengan sedaya upaya mereka untuk memperbaiki kesilapan yang lalu, semakin rumit pula masalah yang lain berlaku. Kemiskinan semakin menjadi-jadi, masalah sosial semakin parah, jenayah semakin berleluasa, korupsi semakin tidak dapat dibendung, dan pelbagai masalah lain lagi.

Kekesalan yang paling menyedihkan ialah majoriti ummat Islam sendiri telah terperangkap di dalam sistem buatan manusia lain yang jahil dan sombong. Mereka terpedaya dengan pelbagai janji kosong dan justifikasi logik oleh mereka-mereka yang yakin dengan sistem-sistem palsu dan fana ini semua. Malah, apabila manusia jahil ini semua telah kebingungan, mereka mempelawa ummat Islam yang pintar untuk memperbaiki sistem mereka dengan mencedok idea-idea daripada syariat agama yang syumul, menjadikan ianya tidak enak difahami oleh generasi terkemudian.

Ternyata, kita telah memerangkap diri kita sendiri kerana pada asalnya, kita telah menolak suatu syariat yang lengkap untuk diri kita, yang diajarkan oleh Tuhan yang Maha Berkuasa, yang Menjadikan kita semua.

Oleh kerana kesombongan dan kejahilan kita, maka amatlah bodoh jika kita masih lagi menolak dan bersangka-sangka bahawa kita masih mampu untuk memperbetulkan sistem-sistem kita yang sudah terbukti gagal dan melopong-lopong.

Alangkah mudahnya, jika kita terus membuang kesemua sistem-sistem dangkal ini, dan terus mengambil sahaja syariat yang syumul lalu mengaplikasikan terus ke dalam kehidupan seharian kita, dalam segala hal segala serbi.

Jika kita masih berlengah-lengah, dikhuatiri, kapal yang semakin melopong akan membawa kita semua karam bersama-sama dengannya, ke dalam lautan api yang panas membara.

No comments:

Post a Comment