Saturday, January 3, 2015

Masa Untung dan Rugi

Manusia sentiasa dalam kerugian. Kecuali mereka yang beramal soleh dan sentiasa berpesan-pesan kepada kebaikan dan kebenaran dengan sabar. Jika engkau lihat ke belakang, engkau akan dapati bahawa masa yang kita telah gunakan banyak dirugikan dengan pelbagai perkara yang lagha dan melalaikan. Aku mendapat pengajaran dari khutbah semalam bahawa masa itu emas dan sebagai ummat Islam, kita seharusnya menjadikan semua amalan kita itu menjadi ibadah yang diredhai oleh Allah s.w.t.

Namun, hati kita sering mendambakan hiburan dan keseronokan. Pastilah kita tidak akan mampu melarikan diri kita daripada ujian jenis ini. Tidak perlu gusar kerana adalah menjadi norma kehidupan manusia memerlukan hiburan dan keseronokan. Biarlah keseronokan yang dicari itu diredhai oleh Allah s.w.t. seperti beriadah kerana Allah s.w.t. dalam lingkungan syariat dan batas-batas agama. Kita juga tidak perlu menjauhkan diri daripada TV ataupun internet, jika kita mahu mendengar ceramah agama yang boleh mendatangkan keinsafan, ataupun mendengar lagu-lagu jenis nasyid yang mendekatkan kita kepada Ilahi.

Jika kita menghitung masa-masa terluang yang dihabiskan begitu sahaja tanpa mengingati Allah s.w.t., pastilah kita akan merasa rugi. Ini kerana, musuh utama kita iaitu Syaitan dan sekutunya pastilah mahu melihat kita rugi dan tidak mendapat peluang menambah pahala atau pulangan dari segi keampunan daripada Allah s.w.t. Pelbagai cara kita boleh mendapat pulangan, dan cara yang paling terbaik ialah dengan melakukan sesuatu perkara secara istiqamah.

Istiqamah ini adalah perkara yang sangat terbaik. Ianya juga boleh menjadikan ianya sebagai good habit (tabiat baik), dan membuang bad habit (tabiat buruk). Contohnya, jika kita mahu membaca Al-Quran, namun hanya membacanya sekali-sekala, kita tidak akan mendapat kenikmatan ataupun menfaat daripada perlakuan tersebut secara nyata. Seumpama, jika kita berjogging, hanya sekali-sekala, kita tidak akan dapat memperbaiki tahap stamina kita. Cuma, kita akan dapat merasakan peluh sekali-sekala sahaja. Jika kita berjogging setiap hari atau kerap sekali, maka kita akan mendapat faedahnya.

Begitu juga dengan tabiat buruk. Jika kita terus meninggalkannya dan tidak mahu mendekatinya secara konsisten, maka lama-kelamaan kita akan merasakan nikmat meninggalkannya walaupun semasa melakukannya dahulu, ianya juga begitu mengasyikkan (atau melalaikan). Kedua-dua perkara ini memerlukan semangat yang kuat dan jitu. Selain daripada semangat, sokongan mereka yang terdekat juga amat diperlukan.

Aku mengesyorkan engkau untuk memeriksa diri apakah tabiat yang mahu dibuang dan apakah pula tabiat baru yang mahu dipupuk serta disemai di dalam diri sendiri. Fikirkan dan mulakan sedikit demi sedikit. InsyaAllah, dengan bantuan dan rahmat daripada Allah s.w.t., pasti engkau akan dapat melakukannya.

Marilah kita mencuba untuk memperbaiki diri kita saban hari. Jadikan hari esok lebih baik dari hari ini, dan hari ini lebih baik dari hari semalam.

Tingkatkan iman dan taqwa. Dalam hal iman dan taqwa, utamakan diri sendiri dahulu barulah yang lain. Dalam hal material dan duniawi, utamakan yang lain dahulu, barulah diri sendiri.

Sekian, wabillahitaufiq walhidayah wassalamualaikum wrt wbt.

Ilalliqa, insyaAllah.

No comments:

Post a Comment